Friday, 13 July 2012

Kebaikan Membawa Bekal Makanan Ke Sekolah..


Kebaikan Membawa Bekal Makanan Ke Sekolah

Kebanyakan pelajar pada tahun-tahun 1960-an hingga 1970-an membawa bekalan makanan dari rumah ke sekolah. Jika diteliti, terdapat banyak kebaikan membawa bekalan makanan dari rumah ke sekolah. Antara kebaikan yang dimaksudkan adalah dari segi kualiti makanan, kebersihan makanan dan penjimatan wang.
            Seperkara yang nyata ialah makanan yang disediakan dari rumah adalah lebih berkualiti serta berkhasiat. Manakala makanan yang disediakan di kantin mengandungi bahan perisa yang tinggi. Kandungan perisa makanan ini akan menjejaskan kesihatan seseorang. Tambahan pula, di kantin juga terdapat banyak bahan makanan ringan yang kurang berkhasiat. Bekalan makanan yang disediakan oleh ibu di rumah seperti nasi lemak dan sebagainya pasti lebih seimbang dan berkualiti.
            Secara perbandingan, makanan yang disediakan di rumah lebih bersih. Lumrahnya, ibu atau bapa yang menyediakan makanan sendiri akan mementingkan aspek kebersihan ketika menyediakan makanan. Sering terdapat kes keracunan makanan menimpa yang makan di luar. Dengan kata lain, membawa  bekalan makanan dari rumah akan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa keracunan makanan.
            Membawa bekalan dari rumah juga menjimatkan wang seseorang pelajar. Ibu bapa boleh berjimat kerana dapat membeli bahan masakan mentah untuk dimasak sendiri. Wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membeli bahan  bacaan dan membayar yuran peperiksaan awam kelak.
            Jelaslah bahawa membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah ke sekolah menguntungkan ibu bapa dan pelajar. Tindakan ini harus diamalkan oleh pelajar demi kesihatan diri dan menjimatkan wang hasil daripada titik peluh ibu bapa. Bawalah bekalan  makanan dan minuman dari rumah ke sekolah pada setiap hari supaya kesihatan terjamin dan boleh berjimat cermat.
BY: SARAH FARISYA

No comments:

Post a Comment