Wednesday, 6 June 2012

AMALAN BERJIMAT CERMAT

Amalan berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Namun masih ramai yang suka membazirkan ketika bebelanja. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan pembaziran di kalangan msyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Setiap agama menggalakkan penganutnya agar sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat. Setiap hari di dalam akhbar, pemimpin negara telah melaungkan mesej supaya pengguna mengelakkan pembaziran demi kebaikan ekonomi keluarga dan negara. rni menunjukkan bahawa amalan pembaziran semakin berleluasa dan perlu diatasi. Persoalannya, apakah punca berlakunya tabiat yang negatif ini?

Faktor utama yang memungkinkan masalah ini ialah tiadanya perancangan dalam berbelanja. Apabila seseorang itu tidak melakukan sebarang perancangan yang teliti, dia akan terbeli barangan yang tidak mempunyai kepentingan atau tidak berfaedah. Akibatnya, barangan tersebut tersimpan di rumah tanpa dapat dimanfaatkan untuk kepentingan keluarga. Pembaziran telah berlaku dengan mengeluarkan wang untuk membeli barangan yang tidak memenuhi keperluan mereka yang membeli. Jelaslah bahawa tanpa perancangan, sukar untuk kita berjimat cermat.

Selain tiada perancangan, berbelanja berdasarkan kehendak atau nafsu juga menyumbang kepada keruntuhan amalan berjimat cermat. Hal ini berlaku kerana pengguna gagal untuk menahan diri daripada membeli sesuatu, terutama barangan yang dijual dengan potongan harga yang menarik. Perkara seperti ini selalu berlaku apabila menjelang musim perayaan. Pengguna akan rambang mata melihat jualan murah di pusat-pusat beli-belah. Sikap ini sebenarnya mengundang padah kepada kita sendiri kerana berbelanja besar dan merugikan. Pihak yang mengaut keuntungan sebenarnya ialah peniaga yang telah berjaya memperdaya pengguna.

Sikap suka menunjuk-nunjuk juga adalah faktor yang menyebabkan pengguna melakukan pembaziran. 1ni berlaku disebabkan mereka ingin bersaing dengan rakan-rakan atau ingin mendapat tempat dalam masyarakat. Memiliki barangan yang berjenama akan meningkatkan prestij pada mata masyarakat masa kini. Walaupun barangan tempatan murah dan mempunyai kualiti yang tidak kurang hebatnya berbanding dengan barangan import, mereka masih keberatan menggunakan jenama tempatan yang pada anggapan mereka tidak melambangkan kejayaan dan kehebatan. Akibatnya, barangan import yang mahal menjadi pilihan lalu menyebabkan pembaziran.

Selain itu, penggunaan kad kredit tanpa kawalan juga menyebabkan pembaziran berleluasa. Dengan kad kredit, pengguna boleh melakukan pembelian tanpa pembayaran tunai. Pembayaran hanya akan dibuat pada hujung bulan. Pengguna tidak akan nampak dengan mata kasar akan nilai wang yang telah dikeluarkan ketika berbelanja. 1ni mendorong pemilik-pemilik kad kredit untuk berbelanja sesuka hati mereka tanpa had dan sekatan. Akibatnya, banyak barangan yang tidak seharusnya dimiliki telah dibeli oleh mereka. Maka, berlakulah pembaziran yang amat merugikan dan membebankan pengguna itu sendiri.

Kesimpulannya, tabiat membazir mesti dihindarkan demi kebaikan diri sendiri dan negara. Setiap anggota masyarakat perlulah berhemah ketika berbelanja agar amalan berjimat cermat dapat diterapkan. Diharapkan, dengan adanya amalan yang mulia ini ekonomi negara akan sentiasa kukuh dan stabil.


BY :NURUL IZZAH

No comments:

Post a Comment