Wednesday, 25 April 2012

faedah aktiviti kokurikulum di sekolah..


Faedah Aktiviti Kokurikulum Di Sekolah




Setiap sekolah akan menjalankan aktiviti kokurikulum. Aktiviti ini dijalankan pada sebelah petang. Para pelajar wajib menyertai aktiviti yang dijalankan, dan menyertai persatuan, unit beruniform, ataupun olahraga. Kementerian Pelajaran tidak mahu para pelajar hanya menumpukan kepada pelajaran sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum.
Melalui aktiviti ini, tubuh badan akan menjadi sihat. Keadaan ini berlaku kerana apabila kita melakukan sesuatu aktiviti, otot-otot akan bergerak dengan aktif, seterusnya mengeluarkan peluh. Apabila diri kita sihat, mudahlah kita untuk mengulangkaji pelajaran dan yang pasti dapat ke sekolah. Jika tubuh badan kita tidak sihat, tubuh menjadi letih serta lesu dan tidak bermaya, menyebabkan minat untuk belajar menjadi luntur.
Faedah kedua yang kita perolehi dengan menyertai aktiviti kokurikulum adalah, pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Sekiranya tidak menyertai aktiviti kokurikulum, masa yang terluang pasti akan digunakan dengan menonton televisyen, melepak, merokok,dan berpeleseran di pusat membeli belah. Aktiviti tidak berfaedah ini juga bakal menjerumuskan mereka ke kancah perjudian, pelacuran malahan juga ke kancah jenayah. Mereka juga bakal terdorong untuk bergaul dengan remaja nakal dan terlibat dalam pelbagai kegiatan negatif seperti merempit, meragut, menagih dan mengedar dadah dan banyak lagi.
Apabila menyertai aktiviti kokurikulum, secara tidak langsung kita juga boleh menambah kenalan. Penyertaan dalam persatuan mahupun aktiviti sukan tidak mengira dari kelas mana ataupun warna kulit. Jadi, menerusi aktiviti yang dijalankan, kita dapat berbincang dan saling mengenali, sekaligus mewujudkan perpaduan antara satu dengan yang lain.
Adat sesuatu pertandingan, ada menang dan ada yang kalah. Apabila pasukan yang kita sertai memenangi kejohanan yang kita sertai nama sekolah akan menjadi harum. Pada peringkat sekolah, kita sudah berjaya mengharumkan nama sekolah, apabila dewasa kelak, tidak mustahil kita juga boleh mengharumkan nama Negara.
Berdasarkan huraian yang diberikan, jelaslah kepada kita akan kepentingan aktiviti kokurikulum kepada kita. Oleh itu, saya menyarankan kepada rakan-rakan, manfaatkanlah masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Apalah gunanya mempunyai otak yang pintar sekiranya tubuh badan kita tidak bermaya.




BY: SARAH FARISYA

No comments:

Post a Comment